Wednesday, 27 February 2013

Usrah itu jumud


Pernah suatu ketika selepas solat Asar berjemaah di surau berhampiran rumah, saya disapa lalu diajak duduk seketika oleh seorang ahli jemaah tabligh. Surau itu sunyi pada waktu Zuhur dan Asar melainkan ada jemaah tabligh yang datang mengimarahkan. Lalu pak cik tersebut menyapa, Alhamdulillah, saya nampak anak ni solat berjemaah di sini. Rumah dekat-dekat sini ke? Ya, rumah saya kat depan sana. Lalu katanya lagi, susah nak nampak anak muda datang ke surau sekarang ni.

Tanpa berlengah pak cik tersebut terus mengajak saya bersama-sama jemaah tabligh. Pertanyaannya, pernah keluar? Jom ikut kami keluar. Inilah sunnah Rasulullah dahulu. Melakukan kerja-kerja dakwah dari rumah ke rumah, dari individu ke ke individu. Waktu itu saya seorang yang jumud. Lalu saya katakan erm…tak pe pak cik. Saya dah ikut usrah. Dijawab pak cik tersebut, usrah ni tak mengembangkan dakwah. Mereka duduk berbincang sesama sendiri jer. Tak keluar. Mereka tak berdakwah, hanya sesama mereka sahaja.

Saya pun duduk di hadapan pak cik tersebut dengan wajah senyum dan berlapang dada. Saya curious nak tahu kenapa masyarakat di luar sana mengatakan orang yang ikut usrah ni tak berkembang dan dakwah sesama mereka jer.


Usrah itu jumud.
Duduk sesama mereka.  

Kemudian, tidak ada apa-apa.

Ikhwah wa akhowat fillah,

Usra itu jumud, ketinggalan, lambat dan tidak membawa apa-apa makna dalam dakwah. Ianya sudah ketinggalan. Duduk berjam-jam sampai kaki naik lenguh hanya sekadar berbincang tajuk-tajuk tertentu yang sebenarnya kita boleh baca di rumah sendiri. 

Lebih baik kita beli sahaja buku Modul Pembangunan Insan daripada ImanShoppe kemudian baca sendiri di rumah. Bazir masa, bazir tenaga dan bazir wang sahaja datang dari jauh-jauh kekadang sampai berkongsi duit nak isi minyak semata-mata nak hadir usrah. Malah ada yang sanggup kongsi beli kereta kerana nak memudahkan pengangkutan pergi usrah dan daurah. Dah la usrah tu every week jumpa muka yang sama jer.


Ikhwah wa akhowat fillah,
Usrah boleh jadi seperti di atas malahan mungkin ada dari kalangan kita sendiri yang pernah merasakan seperti di atas. Usrah akan dikatakan jumud, ketinggalan dan bla..bla..bla… jika tiadanya keikhlasan, ketekunan, kesungguhan dan ukhuwwah.

1.      Keikhlasan
Ikhlas itu seperti semut hitam yang berjalan di atas batu yang gelap ditengah malam yang pekat. Pastinya memang langsung tak nampak. Tidak nampak kerana kesungguhan peribadi kita untuk mencapat matlamat yang satu yakni khusyuk dalam ibadah kepada Allah. Natijah daripadanya adalah datangnya redha Allah kepada kita. Ikhlas ertinya kita hanya fokus kepada satu matlamat yakni Allah. Tiada matlamat selain itu.

Natijah daripada keikhlasan adalah kita akan sentiasa menjaga hubungan dengan Allah. Kita merasakan bahawa Allah ada di mana-mana sahaja. Penglihatan kita hanya pada yang halal. Pendengaran kita hanya pada yang halal. Percakapan kita hanya pada yang halal. Kerana kita khuatir bahawa jika kita terleka dan semberono terhadap pancaindera, kelak Allah akan membalasnya dengan azab neraka. Nauzubillahminzhalik. Akhirnya hubungan yang baik dengan Allah akan memberi kekuatan kepada diri kita untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Secara tidak langsung akan terbentuklah hubungan yang baik antara kita dan manusia lainnya.

2.      Ketekunan
Ketekunan dalam usaha kita untuk memahami dan mengamalkan ilmu yang diperoleh dalam usrah dan daurah. Bagaimana menukar ilmu kepada amal, dari tulisan dalam buku kepada perlakuan anggota badan. Dalam hendak memahami sesuatu perkara, apakah usaha kita? Bagaimana rujukan kita? Apakah cukup satu rujukan sahaja? Apakah yang menyebabkan kita tidak berupaya untuk melihat pada rujukan yang lain?

Jika dahulu kita catatkan nota pada buku, apakah hari ini masih juga begitu? Manfaatkan teknologi. Kongsikan dalam bentuk yang lebih baik seperti power point misalnya agar mudah digunakan di masa lain. Membentangkan suatu ilmu berkaitan sains atau biologi misalnya, usahakan untuk mendapatkan video, gambar dan animasi daripada pelbagai sumber. Itulah bukti bahawa kita tekun dalam membuat persediaan dan melaksanakan amanah yang diberikan. Kita jauh daripada sikap persediaan last minute, kita jauh daripada sikap melepas batuk di tangga. Itu bukan dari kalangan kita yang tersusun urusannya!

3.      Kesungguhan
Kesungguhan kita dalam kerja-kerja dakwah, dalam program tarbiah, aktivisme dsb. Kita bukanlah yang ditunggu-tunggu sebaliknya kita adalah yang menunggu-nunggu untuk hadir. Usrah kitalah yang awal hadirnya. Janganlah sehingga naqib tercari-cari di mana kita saat usrah seharusnya sudah bermula. Ada satu sikap yang harus dijauhkan daripada diri kita. Kita bukan yang merasakan tiada apa-apa jika tidak hadir, sebaliknya kita adalah orang yang merasakan paling rugi dan paling malang jika tidak hadir kerana kehadiran kita adalah ruang untuk kita beramal, ruang untuk kita menyumbang. Janganlah kita berperasaan, alah! Aku tak hadir tak pe, ada orang lain hadir. Mereka boleh buat. Tidak sama sekali! Kita bukanlah dari kalangan golongan seperti itu. Kita mendahulukan diri kita sendiri dalam mendekatkan diri kita kepada Allah SWT kerana tiada istilah itsar dalam beribadah.

4.      Ukhuwwah
Ukhuwwah diletakkan kita sehingga menjadi motto perjuangan. Ukhuwwah adalah tali pengikat antara jiwa-jiwa yang ikhlas mahu mencapai redhaNya. Kita menjadi ikhwah wa akhowat yang saling mendoakan kesejahteraan antara satu sama lain saban waktu kerana kecintaan kita kerana Allah. Kita sentiasa mengamalkan syuro dalam setiap hal sekalipun menyangkut urusan peribadi kerana kita tsiqah bahawa di jalan ini kita meletakkan hidup kita, di jalan ini kita adalah daie sebelum sesuatu yang selainnya. 

Mahu sambung belajar, mahu posting di mana, kereta apa hendak dibeli, nak balik ke tak minggu ni, semua ini dilihat dari satu aspek adalah hal peribadi. Inilah adalah hal peribadi bagi orang di luar sana yang belum bersama-sama dalam jalah faqihu ini. Tapi bagi kita yang faqihu, apakah kita juga berfikit sedemikian? Di jalan faqihu, seusai sahaja mendengar tafsir An Nas, Al Falaq dan Al Ikhlas, segala-galanya diletakkan di bawah kekuasaan Allah semata-mata kerana kita kembali kepada Allah SWT sebagai Yang Maha Melindungi hambaNya. Masihkah ada logika perantara yang lain dalam diri kita?

Kita memiliki jiwa yang saling memerlukan antara satu sama lain. Kita tidak pernah memperkecilkan peranan, usaha dan tanggungjawab akh kita yang lain. Kita adalah tangan yang menghulur bantuan jika kita melihat akh kita lemah. Kita bukan tangan yang hanya tahu menunjuk dan membiarkan sahaja. Kita tampil dengan bantuan untuk sama-sama meneruskan agaenda ini dan melakukan yang terbaik. 

Di jalan cinta para pejuang ini, kita menyedari bahawa manusia itu sentiasa dalam kerugian lalu mengapa kita harus membiarkan amal-amal kita biasa-biasa sahaja? Kitalah pencinta-pencinta yang saling berlumba-lumba melakukan yang terbaik dalam amal-amal kita kerana cinta kita kepada Allah SWT yang memberikan rasa cinta dan melindungi kita saban waktu.

p/s tiada ayat Quran, tiada hadis dalam petikan ini kerana saya yakin setiap dari kita tilawah setiap hari, tadabbur setiap waktu dan berazam untuk menghafal serta melaksanakan hadis dalam kehidupan, sesungguhnya Rasulullah saw adalah qudwah dalam kehidupan.

Wallahua’lam

No comments:

Post a Comment