Semua orang tahu asal usul kejadiannya. Tidak ada sesiapun yang berbalah mengenai asal usul kejadian diri mereka sendiri adalah dari perut ibu mereka sendiri. Tidak ada seorang manusia pun mengaku bahawa dirinya lahir daripada perut harimau ataupun gajah. Semuanya mengaku bahawa dirinya punya ibu, punya emak. Hatta seorang kanak-kanak tiga tahun yang baru mula hendak bercakap pun akan mengatakan bahawa dia datang dari perut ibu apatah lagi seorang nenek berusia 90 tahun.
Demikianlah kisah kejadian manusia. Berperingkat-peringkat dan melalui proses demi proses yang memakan masa sehingga sembilan bulan lamanya sepuluh hari. Ya tidak dinafikan ada yang lahir tak cukup bulan atas masalah-masalah tertentu. Pointnya semuanya melalui peringkat dan proses tertentu. Asalnya daripada sperma kemudian bercantum dengan ovum dan berkembang dan berkembang sehinggalah membentuk fetus dan sebagainya.
Benda ini tak kira mana agama sekalipun bersetuju dengannya. Seorang doktor pastinya lebih arif tentang hal ini. Demikian juga seorang guru biologi. Mereka pasti akan kejadian ini. Mereka menyaksikan dan mengakui bahawa wanita-wanita di Malaysia, Myanmar hatta Venuzuela sekalipun melalui proses yang sama. Jadi tidak ada pertikaian mengenainya. Pak Imam, Pak Bilal, Tok Siak juga makmum biasa pun melalui proses yang sama.
Dan sungguh Kami telah menciptakan manusia dari saripati (berasal) dari tanah
Kemudian Kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim)
Kemudian, air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Mahasuci Allah, Pencipta yang paling baik. Kemudian, setelah itu kamu pasti mati. Kemudian, sungguh kamu akan dibangkitkan dari kuburmu pada hari kiamat.
[Al Mukminum :12-16]
Proses kejadian manusia ini Allah ceritakan berulang kali di dalam Al Quran untuk manusia mengetahui asal usulnya. Mengetahui kemudian berfikir, menginsafi dan menghayati hikmah di sebalik proses dan kejadian ini agar manusia itu kelak mampu untuk mencapai maksud kepada penciptaannya. Tiba kepada proses memenuhi sebab penciptaannya, manusia mula berbalah. Manusia mula berpecah. Manusia mula mengambil jalan sendiri dan tidak lagi mengikut perancangan serta perintah Allah SWT. Lantas banyak manusia menyimpang daripada fungsi asal kejadiannya. Ada yang percaya bahawa hidup di dunia ini adalah untuk selama-lamanya berdasarkan sikap dan akhlak nya yang tidak lagi ingat kepada PenciptaNya.
Perbalahan demi pertikaian manusia tentang hikmah kejadian mereka semakin menjadi-jadi. Manusia mula mengambil jalan sendiri. Lantas apakah mereka termasuk dari kalangan mereka yang berfikir? Apakah mereka mengetahui dan memahami hikmah kejadian mereka berperingkat-peringkat itu? Sebagaimana kejadian manusia Allah jadikan berperingkat-peringkat demikian juga proses kehidupan manusia itu sendiri Allah jadikan berperingkat-peringkat. Setelah hidup di alam dunia, Allah matikan pula manusia kemudian Allah hidupkan kembali. Apakah ini semua adalah sesuka hati Allah? Mustahil sama sekali Tuhan Yang Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana membuat sesuatu dengan sesuka hati melainkan semuanya itu ada sebabnya.

Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptkan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?
[Al Mukminun :115]
Apakah kita termasuk dari kalangan mereka yang berfikir tentang kejadian ini?
Apakah kita termasuk dari kalangan mereka yang mengetahui bahawa penciptaan diri kita ini bukanlah sesuatu yang sia-sia?
Apakah kita termasuk dari kalangan mereka yang mengetahui misi kejadian kita sendiri?
Apakah kita dari kalangan yang sudah melaksanakan misi itu?